My Blog List

Thursday 5 July 2018

11 Pulau Di Johor Yang Menarik | Mulakan Pengembaraan Pulau Anda Di Sini

Mendambakan pengalaman percutian yang tiada tara banding keindahannya? Percutian di pulau tropika adalah jawapannya. Pemandangan dan ketenangan yang dapat dinikmati di dunia yang jauh dari hiruk-pikuk kota ini sukar untuk diucapkan dengan kata-kata.
Cukup mendamaikan sehingga mampu melenyapkan segala masalah yang ada. Kejernihan air di sekitar pantai pulau-pulau ini menghidangkan anda dengan panorama hidupan marin yang tidak mungkin dapat dilihat di tempat lain.
Sediakan kamera kalis air dan skills menyelam skuba anda untuk sebuah eksplorasi alam yang bakal dinikmati di pulau-pulau indah sekitar Johor ini. Dimanakah pulau dengan keindahan melampau ini? Teruskan membaca senarai 11 Pulau di Johor yang menarik untuk percutian pulau yang luarbiasa.

 

11. Pulau Mensirip

Description: Pulau Mensirip Johor - Main Image



 
Jika anda tercari pulau yang dapat memberikan anda ‘feeling’ seperti di dalam filem Cast Away, terdampar di pulau yang tiada sebarang struktur binaan dan sunyi dari penghuni, Pulau Mensirip adalah salah satunya.
Dalam masa yang sama, keindahan air di sekitarnya yang jernih dan kaya dengan hidupan marin menjadikan ia lokasi kegemaran kaki snorkeling dan menyelam skuba. Sepertimana Pulau Rawa, Pulau Mensirip juga dilitupi oleh hutan tebal.
Bagaimana sekalipun cuaca sewaktu anda di pulau ini, satu-satunya tempat untuk anda berlindung adalah di bawah pokok-pokok ini. Nak selamat? Lihat ramalan cuaca dulu ya? Apa-apa pun, sebelum ke sini, pastikan anda mendapatkan kebenaran terlebih dahulu kerana pulau ini adalah salah satu daripada pulau persendirian.
Alamat: Pulau Mensirip, Mersing



 


10. Pulau Tengah

Description: Pulau Tengah - Main Image
 
15 km dari Jeti Mersing terletaknya sebuah pulau iaitu Pulau Tengah yang jika boleh menulis diarinya sendiri, pasti banyak cerita menarik yang ingin disampaikan. Salah satunya adalah kerana ia pernah dijadikan tempat perlindungan pelarian Vietnam pada tahun 1970-an, dan pada tahun 1980-an pula, pulau ini ditutup. Selain itu, Pulau Tengah juga pernah dijadikan lokasi penggambaran rancangan televisyen, Expedition Robinson.
Selai itu, dek kerana keindahan terumbu karang dan kepelbagaian hidupan marin di dasar laut yang mengelilinginya, pulau ini telah digazetkan sebagai Taman Laut. Di samping itu, bentuk geografi pulau ini yang berbatuan menambahkan lagi pesona eksotiknya untuk anda bergambar dengan sepuas hati. Rancanglah aktiviti anda di pulau ini, anda pasti tidak dapat melupakan keindahannya.
Alamat: Pulau Tengah ,Mersing



9. Pulau Besar (Pulau Babi Besar)

Description: Pulau Besar - Main Image

 
Pulau Besar dahulunya digelar Pulau Babi Besar kerana dikatakan pada waktu itu terdapat banyak babi hutan yang berkeliaran, namun jangan risau, kerana sekarang babi ini telah menghilangkan diri. Kini, anda dapat menikmati keindahannya dengan penuh ketenangan.
Anda boleh berkelah dan bersantai sambil menikmati pemandangan pantai yang berpasir putih bersih ini. Setelah puas berjemur, jangan melepaskan peluang untuk menyelam skuba kerana  dasar lautnya cukup memukau dengan hidupan marin dan batu karang yang penuh warna-warni.
Segalanya dapat dilihat dengan jelas melalui air laut yang jernih. Anda juga boleh merancang untuk menerokai kawasan kampung yang terdapat di pulau ini untuk membuka mata anda tentang kehidupan masyarakat di pulau.
Alamat: Pulau Babi Besar, Mersing



8. Pulau Tinggi

Description: Pulau Tinggi - Main Image

 
Masa yang diambil untuk sampai ke Pulau Tinggi adalah 30 minit perjalanan bot dari Jeti Tanjung Leman. Kalau anda nak tahu, pulau ini menempatkan gunung yang tertinggi jika dibezakan dengan gunung yang terdapat di pulau-pulau di sekitarnya.
Yang menariknya, gunung ini juga kelihatan seperti topi bila dipandang sekali,  sehingga ia pernah diberi gelaran sebagai Pulau Topi Jeneral oleh pelayar China ratusan tahun yang lalu. Gunung ini adalah Gunung Semadu yang berketinggian sekitar 2000 kaki dari paras laut.
Kekayaan hidupan marin di dalam air laut biru yang mengelilingi pulau ini menjadikan Pulau Tinggi sebagai salah satu lokasi yang terkenal dalam kalangan penyelam. Anda juga tidak patut melepaskan peluang untuk berjungle trekking di pulau ini untuk menuju ke kawasan air terjun dan kolam kecil yang indah. Masa yang diambil untuk ke sana adalah dalam sekitar 35 ke 40 minit.
Alamat: Pulau Tinggi, Mersing



 


7. Pulau Sibu

Description: Pulau Sibu - Main Image
 
Sama juga seperti Pulau Tinggi, Pulau Sibu hanya boleh diakses dari Jeti Tanjung Leman. Sampai sahaja di pulau ini, anda akan terasa seperti berada di dalam sebuah syurga indah dengan udara segar, dan pantai yang cukup mengujakan keindahannya.
Mungkin anda ingin memulakan aktiviti di pulau ini dengan hanya bersantai di pantai berpasir putih ini untuk menikmati pemandangan sepuas hati, setelah itu, anda boleh merancang untuk melakukan banyak aktiviti air lain yang boleh diatur dengan pihak resort yang terdapat di sini sama ada banana-boating, bola pantai, menaiki jet-ski, menyelam skuba dan sebagainya.
Walaupun hanyalah sebuah pulau yang kecil pulau ini memiliki 4 buah pantai di bahagian timurnya. Manakala, selatan pantai pula adalah spot yang terbaik untuk anda menyelam menikmati fauna lautan kerana terlindung dari tiupan angin.
Pulau Sibu boleh dikatakan antara pulau yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan namun masih mengekalkan ketenangan flora dan faunanya.
Alamat: Pulau Sibu, Mersing



6. Pulau Pemanggil

Description: Pulau Pemanggil - Main Image

 
Untuk menuju ke Pulau Pemanggil yang terletak 45 km dari Mersing ini, anda dapat menikmati perjalanan bot selama 4 ke 5 jam. Perjalanan panjang untuk ke pulau kecil ini terasa sungguh terbayar kerana mampu memenuhi impian percutian anda. Berpasir putih keemasan, dasar laut dengan batu karang yang memakau pandangan dan hidupan laut yang pelbagai membuatkan anda tertanya-tanya sama ada di dalam dunia sebenar atau mimpi.
Untuk pengetahuan anda, Pulau Pemanggil juga adalah salah satu hotspot yang memiliki banyak lubuk rahsia. Rahsia apa? Sebenarnya di sekitar Pulau Pemanggil ini anda boleh memancing untuk membawa hasil tangkapan yang pasti membuatkan anda tersenyum lebar.
Antara hasil tangkapan yang boleh anda dapati di sini adalah barakuda, kerisi, tongkol, tambak, kerapu, asoh, tarap, kaci dan sebagainya. Bagi anda yang teringin makan sotong pula, musim mencandat sotong adalah dari pertengahan bulan Ogos hinggalah ke akhir September. Pergh! Nikmatnya bila makan hasil laut segar di tepi pantai yang indah sambil menikmati air kelapa. Keseronokan yang sukar diungkapkan.
Alamat: Pulau Pemanggil, Mersing



5. Pulau Dayang

Description: Pulau Dayang Johor - Main Image

 
Bukan Pulau Dayang di Langkawi ke? Jangan tak tahu, di Johor pun ada Pulau Dayangnya. Walaupun memiliki kawasan pantai yang sungguh mengasyikkan keindahannya, Pulau Dayang ini agak tenang tanpa pelancong yang datang berbondong. Mungkin kerana kedudukannya yang agak jauh dari jeti, kerana masa yang diambil untuk sampai ke sini adalah dalam sekitar 5 jam.
Pulau yang penuh privasi ini juga cukup sesuai bagi anda yang baru ingin berjinak dalam dunia menyelam, kerana di sini anda boleh mendapatkan kursus menyelam daripada mereka yang sudah berpengalaman.
Dah pandai menyelam barulah syok nak melawat banyak lagi pulau yang lain. Pada waktu malam pula, anda boleh berbaring di pasir pantai sambil menikmati pemandangan bintang berkelipan yang cukup jelas.
Alamat: Pulau Dayang, Mersing



4. Pulau Aur

Description: Pulau Aur Johor - Main Image

Sumber: Singaporean

Sepertimana pulau-pulau di sekitarnya, Pulau Aur juga tidak kurang hebat keindahan panorama dalam laut birunya. Kaya dengan pelbagai spesies hidupan laut dan batu karang yang berwarna-warni, Pulau Aur adalah antara lokasi terbaik bagi para penyelam dan bagi mereka yang ingin bersnorkeling.
Syurga tropika ini juga menjadi tempat persinggahan ramai nelayan oleh kerana kekayaan hasil lautnya. Mungkin anda juga boleh mencuba? Dapatlah makan hasil laut yang segar hasil tangan sendiri sambil menikmati pemandangan mengasyikkan.
Bagi anda yang berniat untuk menyelam skuba di dalam lautan indah sekitar Pulau Aur ini, dicadangkan untuk datang antara bulan April – Oktober kerana kejernihan air pada waktu itu cukup baik.
Alamat: Pulau Aur, Mersing


3. Pulau Kukup

Description: Pulau Kukup Johor - Main Image

Sumber: Pulau Kukup

Pulau yang berkeluasan 800 ekar ini, Pulau Kukup, memiliki kawasan paya bakau yang berkeluasan 647 hektar menjadikan ia paya bakau yang terbesar di Malaysia. Pulau ini menjadi tempat pembiakan banyak hidupan seperti ketam, udang, pelbagai jenis ikan unik dan macam-macam lagi.
Diisyhtiharkan sebagai Tanah Lem­bap Berkepentingan Antarabangsa, Pulau Kukup dapat membuka mata anda mengenai ekosistem yang wujud di dalam alam semula jadi paya bakau dan hutan yang terjaga.
Salah satu aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah menaiki jambatan gantung berkepanjangan 600 meter yang digelar Arboretum untuk menerokai kawasan paya bakau. Anda dapat melihat kehadiran pelbagai jenis hidupan air sambil menikmati udara yang melapangkan dada. Jangan lupa juga untuk bergambar dengan pokok bakau minyak yang terbesar di Semenanjung Malaysia yang terdapat di sini.
Aktiviti lain yang tidak patut dilepaskan di sini adalah menaiki bot untuk menyelusuri sungai-sungai sambil melihat kehadiran burung yang banyak berterbangan di awan.
Alamat: Lot 139, Mukim, Air Masin, 82300 Kukup, Pontian


2. Pulau Harimau

Description: Pulau Harimau - Main Image

Sumber: Chin Yan

Pulau Harimau? Macam seram sahaja bunyinya. Bertenang! Pulau ini diberikan nama Pulau Harimau kerana bentuknya yang kelihatan seperti harimau jika dilihat dari sudut pandangan burung yang berterbangan di angkasa dan bukan kerana kehadiran harimaunya.
Pulau yang hanya boleh diakses dari Jeti Mersing ini adalah syurga bagi para penyelam kerana airnya yang jernih bak kristal. Betapa jernihnya air di pulau ini sehinggakan anda dapat melihat panorama dalam laut dengan hanya berdiri di tepian pantai.
Banyak sekali ikan-ikan comel dan batu karang pelbagai warna yang boleh dilihat di sekitarnya sehingga membuatkan anda terasa seperti ingin tinggal di sini lebih lama dari sepatutnya. Tapi sedihnya, tiada sebarang penginapan di pulau ini kerana ia merupakan salah satu pulau persendirian. Penginapan terdekat dengan pulau ini adalah di Pulau Rawa.
Alamat: Pulau Harimau, Mersing


1. Pulau Rawa

Description: Pulau Rawa Johor - Main Image

Sumber: Apakes

Pulau Rawa, sebuah pulau di Johor yang sungguh indah dengan pantai berpasir putih bersih dan dasar laut yang mempesonakan. Anda dapat menikmati panorama indah hidupan marin yang terdapat di dasar laut serta batu karang dengan bersnorkeling di pantai jernih kebiruan ini. Keindahan Pulau Rawa turut ditambah dengan kehijauan kawasan daratnya yang tebal dilitupi hutan.
Oleh sebab itu, cara yang terbaik untuk anda menikmati keindahan pulau ini adalah dengan berkanu di sekitarnya pada hari laut tenang.
Cara lain untuk menikmati keindahannya adalah dengan bertrekking di timur pulau ini. Kenapa di bahagian timur? Kerana di sini disediakan 270 anak tangga untuk memudahkan anda menuju ke puncak pulau ini. Kepenatan yang dirasa sewaktu mendaki akan hilang sebaik melihat pemandangan yang terbentang terutama sekali sewaktu matahari terbenam.
Alamat: Pulau Rawa, Mersing



Senarai pusat membeli belah di Johor ini adalah untuk rujukan kepada anda yang ingin melancong ke Negeri Johor. Selain dari kepelbagaian tarikan pelancongan, disini juga terdapat pusat membeli belah yang menjadi tumpuan kalangan warga tempatan dan warga Singapura untuk membeli belah.
Jika anda melancong ke Johor Darul Takzim, rasa tak lengkap sekiranya anda tidak singgah sebentar di pusat membeli belah yang ada di negeri ini. Jangan lupa bawa balik cenderahati atau buah tangan untuk diberikan kepada rakan-rakan atau ahli keluarga anda.

9 Pusat Membeli Belah Di Johor Sering Dikunjungi
Dibawah adalah 9 pusat membeli belah di Johor yang sering dikunjungi oleh masyarakat tempatan dan juga pelancong dari luar. Rata-rata pusat membeli belah ini sesak terutamanya pada hari cuti dan waktu perayaan untuk membeli belah dan makan.
Semoga dengan senarai pusat membeli belah di Johor di bawah ini dapat memberi anda idea untuk cuci cuci mata, lepak-lepak dan mencari sesuatu yang berkenan di hati kalau anda bercuti ke Johor kelak.
1. Johor Premium Outlets
Description: Johor Premium Outlets Pusat Membeli Belah Di Johor

Johor Premium Outlets atau lebih dikenali sebagai JPO ialah tempat membeli-belah yang mesti dikunjungi jika bercuti ke Johor Bahru. Ia adalah cawangan Premium Outlets yang pertama di Malaysia.
Kepada pengunjung yang belum pernah ke sana, Johor Premium Outlets ialah tempat membeli-belah yang menjual berbagai barangan berjenama dari luar negara dan harga di sini juga sangat berpatutan.
2. City Square JB
Description: City Square JB Pusat Membeli Belah Di Johor

City Square JB merupakan sebuah shopping mall yang moden dan menempatkan pelbagai shoplot yang menjual pelbagai barangan dalam pelbagai kategori. Terdapat juga foodcourt di sini yang sering menjadi pilihan warga kota untuk makan-makan.
Shopping mall ini seringkali menjadi tumpuan orang muda dan warga kota JB terumatanya pada hari minggu dan cuti umum untuk bersantai dan membeli belah kerana terletak di tengah-tengah pusat bandar Johor Bahru.
3. Komtar JBCC Shopping Complex
Description: Komtar JBCC Shopping Complex
Komtar JBCC Shopping Complex bersebelahan dengan banggunan Komtar yang dibuka pada November 2014 ini merupakan shopping mall atau plaza yang besar dan menempatkan banyak lot kedai dan foodcourt yang best.
Pelbagai barang berjenama dari dalam negara dan luar negara pun ada ditawarkan disini. Pilihan restoran di pusat membeli belah ini juga menyediakan pelbagai makanan tradisional Johor yang boleh dicuba.
4. Bazaar Johor (Bazaar Karat)
Description: Bazaar Johor (Bazaar Karat)

Bazaar Johor atau Bazaar Karat merupakan sebuah pasar malam di tengah-tengah bandaraya Johor Bahru yang menjual pelbagai barangan seperti pakaian, barangan antik, kasut, stokin, tali pinggang dan macam-macam lagi.
Satu tempat menarik di Johor Bahru yang sangat meriah pada waktu malam terutamanya di hujung minggu. Disini juga terdapat banyak gerai yang menjual pelbagai jenis makanan. Memang sesuai untuk bersantai berborak bersama teman.
5. AEON Tebrau City
Description: AEON Tebrau City

AEON Tebrau City yang terletak di Taman Desa Tebrau ini merupakan pusat membeli-belah kedua terbesar selepas KSL City. AEON Tebrau City juga terletak di pusat bandaraya dan ia mempunyai 3 tingkat pusat membeli-belah yang merangkumi pelbagai outlet antarabangsa.
Pusat membeli belah ini menawarkan pelbagai jenis barangan dan panggung wayang yang menjadi pilihan warga tempatan untuk membeli belah dan bersantai. Ia dibuka dari pukul 9.30 pagi hingga 11.00 malam.
6. Angsana Johor Bahru Mall
Description: Angsana Johor Bahru Mall

Angsana Johor Bahru Mall yang terletak di Tampoi, Johor Bahru ini dahulunya dikenali sebagai Plaza Angsana dan telah diubah kepada nama sekarang bermula pada tahun 2014.
Pusat membeli belah ini merupakan antara pusat membeli belah yang terawal ada pada di JB. Disini juga terdapat pelbagai jenis barangan tempatan dan antarabangsa yang ditawarkan kepada pengunjung.
7. The Zon Stulang JB
Description: The Zon Stulang JB

The Zone Stulang JB yang terletak di Stulang ini sebuah pusat perniagaan pelbagai kegunaan milik Naluri Corporation Bhd di Stulang yang terkenal kerana berstatus bebas cukai.
Pusat membeli belah ini terdiri daripada bangunan lima tingkat yang menyediakan medan beli-belah termasuk butik pakaian, kedai barang keperluan, restoran, dan kedai-kedai bebas cukai yang menjual barangan-barangan bermutu tinggi termasuk coklat, arak dan hasil tembakau, kepada pelanggan yang layak khususnya pelancong.
8. Skudai Parade
Description: Skudai Parade

Skudai Parade yang terletak di Skudai, Johor ini memang tumpuan dikalangan warga tempatan dan pelajar dari UTM. Pusat membeli belah ini menawarkan pelbagai jenis barangan dari pakaian, barangan keperluan dan banyak lagi.
Disini juga ada menyediakan pusat hiburan seperti panggung wayang, bowling dan karaoke yang sentiasa menjadi tumpuan pengunjung terumatanya pada hari minggu dan cuti umum.
9. AEON Bukit Indah Johor Bahru
Description: AEON Bukit Indah Johor Bahru

Jusco AEON Taman Bukit Indah ini hanya terletak 5 minit perjalanan dari Legoland Malaysia dan merupakan antara shopping kompleks terbesar di Johor Bahru serta yang paling hampir dengan Legoland Malaysia.
Pusat membeli belah ini sering dikunjungi penduduk sekitar Johor Bahru dan juga popular di kalangan pengunjung dari Singapura kerana jaraknya yang cuma 25 minit dari Tuas di Singapura.
Jadi memang tak hairan, jika di waktu hujung minggu banyak kereta-kereta yang mempunyai plat pendafataran Singapura kelihatan di sini. Bukan sahaja kereta-kereta berplat Singapore, bas-bas pelancong dari Singapore juga dilihat banyak menurunkan pelancong-pelancong di sini.
___
Selain daripada 9 pusat membeli belah di Johor yang menjadi tumpuan seperti diatas ada banyak lagi pusat membeli belah lain yang mungkin anda boleh cuba kunjungi. Antaranya adalah KSL City Mall, The LakeFront @ Southkey, Sutera Mall, Perling Mall, Galleria @ Kotaraya, SouthKey Megamall dan banyak lagi.
Tak sah kalau pergi ke Negeri Johor kalau tidak membeli belah. Lagi-lagi jika pulang dengan tangan kosong tanpa buah tangan. Semoga dengan senarai 9 tempat pusat membeli belah di Johor diatas dapat membantu anda merancang percutian di Negeri Johor pada masa akan datang.
Jika anda ada pusat membeli belah di Johor lain yang ingin dikongsikan kepada kami, sila komen dibawah. Jangan lupa like CutiSini.com di Facebook, jadi anda akan terus-menerus dapat membaca artikel cuti-cuti Malaysia seperti ini. Terima kasih.


Featured post

http://www.irfankhairi.com/blog/