11 TEMPAT MENARIK DI JOHOR BAHRU. MACAM-MACAM ADA!
Berikut adalah antara tempat menarik
di Johor Bahru yang boleh dilawati bersama keluarga.
1. PUTERI HARBOUR
Tanjung Puteri atau Puteri Harbour
adalah salah satu tarikan terbaru di Johor yang boleh anda lawati bersama seisi
keluarga. Dengan keindahan pantai yang bersih dan luas, kawasan pelabuhan ini
tentunya akan memberi ketenangan kepada warga kota yang ingin bersantai bersama
keluarga.
Ada
bermacam-macam rekaan arca yang diperbuat daripada buluh. Bila dah puas
berjalan dan mengambil gambar, ada banyak pilihan restoran dan tempat makan
yangbest di sekitarnya. Tempat letak kereta pun
banyak, tak perlu pening kepala lagi. Pemandangannya semasa matahari terbenam
memang cantik!
2. PUTERI HARBOUR INDOOR THEME PARK
Dalam kawasan Tanjung Puteri ini,
terdapat juga tarikan lain yang pastinya menghiburkan seperti Sanrio Hello
Kitty Town dan Thomas Town. Penggemar Hello Kitty pasti teruja dengan rumah
lengkap berkonsepkan Hello Kitty dengan bilik tidur, dapur dan ruang tamu di
Hello Kitty Town. Bagi peminat kereta api Thomas, Thomas Town menanti dengan
replika kereta api serta Windmill Ride, Colin Crane Drop Ride, Harold
Helicopter ride, dan pastinya kereta api Thomas untuk dinaiki. Terdapat juga
karakter kartun popular yang lain seperti Angry Bird, Barney, Bob The Builder,
dan Pingu.
Pusat
membeli belah, restoran serta kafe turut
disediakan untuk kemudahan pengunjung. Bukan sekadar untuk anak kecil, orang
dewasa pun tentu ramai yang minat dengan karakter kartun ini, bukan?
3. KILANG BATERI
Kalau sudah berada di JB, jangan lupa
untuk singgah ke Kilang Bateri. Bazaar ala hipster yang asalnya merupakan
kilang bateri ini sering menjadi sebutan warga Johor kerana suasananya yang
santai dan bersahaja. Pelbagai jenis makanan yang popular di Instagram ada di
sini seperti makanan berkonsepkan western oleh LabbyBros dan kacang pool oleh
Cupchai.
Pengunjung
juga boleh membeli-belah di butik terkemuka di instagram antaranya jenama dari
Costuro, SuperSunday dan JohoBaru. Bagi si ulat buku, di sini terdapat kedai
buku istimewa iaitu Projek Buku. Kedai gunting rambut 1855 berkonsepkan moden
juga ada di sini bagi lelaki yang inginkan gaya rambut yang paling terkini dantrending. Projek usahasama pelbagai jenama dan
keluaran tempatan ini begitu membanggakan dan mendapat perhatian
hingga pernah dilawati oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri, Datuk Seri
Najib Tun Razak.
4. KUSO 3D ART GALLERY
KUSO
3D Gallery ini adalah yang pertama di Johor. Di sini, anda boleh masuk ke
dalam dunia lukisan 3D dan
menjadi superhero berlawan dengan dinasour, memanjat dinding dengan mudah,
masuk penjara dengan rela hati atau sumbat kawan-kawan anda ke dalam penjara!
Terdapatnya mesin simulasi 9DVR
(Virtual Reality), di mana anda boleh berlawan dengan zombie, dinosaur dan
raksasa yang sangat menggerunkan. Kalau nak rasakan sendiri pengalamannya,
ajaklah rakan dan keluarga untuk menyertai misi yang penuh keseronokan dan
cabaran!
5. DANGA BAY
Danga
Bay yang dahulunya sebahagian daripada Pantai Lido yang ditambak kini menjadi
pusat pelancongan yang terkemuka kerana pembaharuannya yang menarik perhatian
pengunjung. Terdapat 4 tarikan utama di Danga iaitu pusat membeli belah Danga
City Mall, Danga World Mini Theme Park yang menempatkan permainan karnival
sesuai untuk seisi keluarga seperti ferris wheel, merry-go-round dan pirate ship ride.
Anda sekeluarga juga
boleh menaiki tram atau basikal untuk mengelilingi sekitar Danga Bay.
Akhir sekali, tak sahlah kalau tak makan-makan restoran serta kafe istimewa
yang terdapat di sekitarnya.
6. JOHOR PREMIUM OUTLET
Pada
yang kaki shopping, jangan lupa untuk singgah
di Johor Premium Outlet. Pusat membeli-belah ini sering membeli pilihan
pelancong kerana variasi kedai berjenama yang menjual pelbagai pilihan pakaian,
beg tangan, kasut dengan potongan harga 25% ke 65% setiap hari.
Selain itu, ia senibina kawasan ini
yang berkonsepkan kolonial dan landskap taman tentunya menjadi kawasan yang
unik untuk mengambil gambar kenang-kenangan.
7. HUTAN BANDAR
Sesuai dengan namanya, kawasan hijau
yang terletak di tengah bandaraya Johor Bahru ini adalah pusat rekreasi
yang mengekalkan fauna semulajadinya dengan modifikasi minimum bagi tujuan
pembangunan kawasan ini. Terdapatnya taman permainan ‘Children Adventurous
Park’ dan kolam mandi khusus untuk kanak-kanak.
Selain
itu aktiviti lain juga disediakan seperti jungle trekking dan
kawasan beriadah yang terbuka untuk seisi keluarga. Di lokasi ini juga
disediakan untuk aktiviti perkhemahan dan BBQ. Pengunjung juga boleh menjamu
selera di Medan Selera Atap Belian sambil menikmati pemandangan semulajadi.
8. LEGOLAND
Rasa tak lengkap percutian seisi
keluarga ke Johor Bahru tanpa berkunjung ke taman tema ikonik Legoland. Anda pasti
terpesona dengan binaan replika mercu tanda kebanggan Malaysia seperti Menara
Kembar KLCC, Masjid Putrajaya serta mercu tanda Negara lain seperti Angkor Wat
dan Taj Mahal yang dibina sepenuhnya daripada blok Lego di Miniland.
Di bahagian Imagination, anda boleh
melihat Legoland secara menyeluruh dari Observation Tower. Anak-anak boleh
membina Lego sendiri, menaiki pelbagai ride yang tersedia dan menonton wayang
4D.
Taman temanya terbahagi kepada
beberapa bahagian untuk pengunjung terokai iaitu Lego Technic, Lego Kingdoms,
The Land of Adventure, Lego City dan Taman Tema Air. Selain bersuka-ria, para
pengunjung boleh membeli belah dan menjamu selera di Mall Of Medini serta
menginap di Hotel Legoland yang berkonsepkan Pirate, Adventure, Kingdom atau
Ninjago.
9. AUSTIN HEIGHTS ADVENTURE PARK
Mungkin ramai tak tahu, Johor Bahru
juga ada taman tema airnya sendiri. Gelongsor tiubnya yang mencabar serta
gelongsor air yang popular serta Yellow Wall, Supersurf serta Rainbow Hood
pasti menghiburkan bagi seisi keluarga.
Selain
taman tema air, kawasan ini juga menawarkan aktiviti menarik lain kepada
pengunjung seperti Adventure Park yang tidak kurang hebatnya, ski, go kart
drift, dan Jump Street trampoline
park.
10. PASAR KARAT JB
Pasar
Karat JB semaki mendapat tempat di hati pengunjung kerana kepelbagaian barangan
yang dijual. Selain barangan terpakai seperti pakaian bundle dan barangan antik, pasar ini semakin
berkembang dan mula menjual barangan baru dan kraftangan. Makanan juga turut
dijual buat pengunjung seperti juadah Thailand oleh The Hijau Thailand dan
jenama kopi dan teh terkemuka iaitu Chaiwalla & Co.
11. GALERI GLULAM
Johor Bahru juga menawarkan tempat
menarik bagi pencinta senibina inovatif. Galeri ini mempamerkan penggunaan kayu
berlamina glu atau bersalut perekat atau Glulam (Glued Laminated Timber)
sebagai bahan asas pembinaan struktur daripada kayu.
Bangunan tersebut sendiri diperbuat
daripada 80% kayu serta mengaplikasikan penggunaan glulam dalam pembinaannya
bagi mencapai senibina yang ikonik dan moden. Selain untuk penggemar
senibina, ia juga bertujuan untuk menjadi pusat rujukan bagi pakar profesional
seperti arkitek, jurutera, kontraktor serta semua lapisan pengguna termasuk
agensi kerajaan dan swasta termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga
Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan serta pihak berkuasa tempatan yang lain.
DESTINASI YANG TEPAT UNTUK KELUARGA
Johor Bahru menawarkan lebih daripada
yang anda jangka. Daripada yang menggemari aktiviti lasak, aktiviti santai
sehingga ke membeli-belah, ia wajar dijadikan destinasi percutian seisi
keluarga atau bersama rakan untuk pengalaman yang menakjubkan!
No comments:
Post a Comment